Tuesday, March 2, 2010

Kaedah Pengajaran

Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.
Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain.
Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.
Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang
hendak dicapai
3. kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran
yang diajar
4. kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6. mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah
bekenaan
7. kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang
ada.
An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit
tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar

5. Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur
pencapaian pelajar

Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit. It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal. That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
Planning
Implementation
Evaluation

Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching). Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
“…effective teacher is one who is able to demonstrate the
ability to bring about intended learning goals”. Parrott (1986:5)

Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam. Ini juga harus dirancang dengan saksama. Iaitu apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya. Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul.
Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan. Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher). Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994). Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya. Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).

Rujukan
Abu Saleh, Muhibuddin Ahmad (1988). Asasiyat fi turuq at-tadris
al-`ammah. Riyadh: Dar Al-Huda.
Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim (1986). At-Taujih al-fanny fi
usul at-tarbiyah wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan.
An-Nashmy, Ajil Jasim (1980). Ma`alim fit-tarbiyah. Kuweit:
Makatabah Al-Manar.
Atan Long (1981). Kaedah am mengajar. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Azman Wan Chik (1987). Kaedah hayati amali. Kuala Lumpur:
Karya Bistari.
Cangelosi, James S.(1992). Systematic teaching strategy. New York:
Longman.
Hasan Langgulung (1981). Beberapa tinjauan dalam pendidikan Islam.
Kuala Lumpur: Pustaka Antara,.
Mahfuzdh Shalahuddin (1987). Metodologi Pendidikan Islam. Surabaya:
Bina Ilmu.
Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2: Strategi pengajaran pembelajaran
mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
Parrot, Elizabeth (1986). Effective teaching. London & New York:
Longman, 7th ed.
Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik
darjah, kaedah & strategi. Kajang: Masa Enterprise.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala
Lumpur: Heinemann, ctk. 4.





Strategi Mengajar Sains Sekolah Rendah
Oleh: Prof. Madya Dr. Salihan Siais, Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Putra Malaysia
Kertas kerja yang dibentangkan semasa Konvensyen Pendidikan Sains dan Matematik Sekolah Rendah Luar bandar, Negeri Sembilan Darul Khusus
PENDAHULUAN
Sebagai pendahuluannya, mari kita renung dan teliti dua ungkapan yang berkaitan dengan tugas sebagai seorang guru diberikan seperti berikut:
``Mengajar atau menjadi guru merupakan satu tugas yang sangat mulia, murni dan menguntungkan. ia merupakan satu tugas yang boleh dan menjamin ke arah membawa seorang itu masuk syurga.....''
``Tiada seorang guru yang paling unggul, berkesan dalam mengajar, dan mempunyai sikap yang luhur di permukaan bumi ini, melainkan Nabi Muhammad s.s.w. Dalam semua aspek pengajaran, baik dari segi bahan, teknik penyampaian, sikap mahupun sifat-sifatnya boleh dijadikan teladan oleh semua ummah di dunia ini untuk menghasilkan pengajaran berkesan.''
________________________________________
Maksud Mengajar
mengajar sebenarnya bermaksud menyampaikan ilmu pengetahuan maklumat, memberi galakan, membimbing, memberi dan meningkatkan kemahiran, meningkatkan keyakinan, menanam nilai-nilai murni dan luhur kepada para pelajar yang belum mengetahui.
Ia bukan sekadar menyampaikan maklumat atau bahan pengajaran dalam sebuah kelas. lebih mendukacitakan lagi jika proses mengajar dianggap sekadar menyampai maklumat dan menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dalam kurikulum.
Proses mengajar mempunyai konsep yang sangat luas, ia bertujuan untuk menjadikan seseorang individu itu lebih bertanggungjawab dan mampu menjana fikirannya untuk terus bahagia dan berjaya mengatasi cabaran yang akan dihadapai. Ini hanya akan dicapai sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan mencapai tahap pengajaran berkesan.
________________________________________
Siapa itu Guru?
Orang yang mengajar dikenali sebagai guru. Perkataan guru adalah hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gur' dan `Ru'.
Dalam bahasa jawa, Gu diambil daripada perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, GURU bermaksud seorang yang boleh ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya, amalannya dan boleh dipercayai bermaksud keamanahan yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk dilakukan dengan jujur.
________________________________________
Peranan dan Tugas Mengajar
Setiap guru seharusnya mengetahui peranan dan tugas mereka secara terperinci jika mereka ingin berusaha melakukan dan menghasilkan pengajaran yang berkesan.
Di antara tugas seorang guru ialah
1. menyampaikan ilmu pengetahuan
2. menyampaikan maklumat
3. menyampai dan
4. memberi kemahiran serta
5. memupuk nilai-nilai murni dan luhur sebagaimana yang telah disebutkan di atas.
Manakala peranan guru pula ialah sebagai pembimbing, pendidik, pembaharu, contoh dan teladan, pencari dan penyelidik, penasihat dan kaunselor, pencipta dan pereka, pencerita dan pelakon, penggalak dan perangsang, pengilham cita-cita, pengurus dan perancang, penilai, pemerhati, rakan dan kawan pelajar, doktor dan pengubat, penguat kuasa, pemberi petunjuk orang yang berwibawa dan sebagainya.
Jelas menunjukkan bahawa menjadi seorang guru merupakan satu tugas dan peranan yang agak berat.
Sebenarnya, jika anda anggap tugas itu berat, maka beratlah ia. Jika anda terima ia sebagai satu cabaran dengan cara yang positif, maka mudahlah ia.
________________________________________
Pengajaran Sains Berkesan
Pengajaran berkesan ialah proses mengajar yang menghasilkan proses pembelajaran yang berkesan di kalangan pelajar yang menghasilkan proses pengajaran tersebut.
Ia dapat mengubah tingkah laku, membina dan mengembangkan aspek rohani, minda serta jasad pelajar.
Dalam bahasa yang mudah, pelajar berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar, meningkat kemahiran dalam aspek kognitif dan manipulasi mereka serta dapat melakukan aktiviti yang berkaitan dengan proses pengajaran yang telah dijalani. Selanjutnya, pelajar lulus cemerlang dalam peperiksaan yang dijalani.
Pada asasnya, pengajaran berkesan bergantung kepada:
a. Kepakaran guru terhadap bahan pengajaran,
b. Keperluan bahan pengajaran
c. Pedagogi dan strategi atau kaedah pengajaran
d. Kemahiran berkomunikasi.
Di samping itu, terdapat pelbagai faktor lain yang boleh menyumbangkan ke arah pengajaran guru berkesan. Ini termasuklah:
1. Matlamat dan sasaran pengajaran guru setiap hari.
2. Matlamat dan sasaran pencapaian akademik sekolah
3. Sikap guru dan sikap pentadbir sekolah
4. Kemahiran guru dan kemahiran pentadbir sekolah.
5. Motivasi guru dan motivasi pentadbir sekolah.
6. Misi dan visi guru dan misi dan visi pentadbir sekolah.
7. Etika guru dan etika pentadbir sekolah.
8. Keadaan dan suasana persekitaran sekolah.
9. Kemahiran berkomunikasi guru dan pentadbir sekolah.
10. Pemikiran guru dan pemikiran pentadbir sekolah.
11. Keikhlasan guru dan pentadbir sekolah ketika melakukan pekerjaan juga turut mempunyai saham yang penting ke arah keberkesanan pengajaran guru berkesan.
Di samping faktor yang disebutkan di atas tadi, faktor pelajar juga boleh mempengaruhi dan menyumbangkan ke arah pengajaran guru berkesan.
Jika terdapat seorang guru yang mengajar dengan cara yang berkesan dalam sebuah kelas tetapi pelajar yang mengikuti pengajarannya tidak tahu peranan mereka sebagai pelajar yang berkesan, maka usaha tersebut akhirnya akan sia-sia sahaja.
Persoalannya sekarang, bagaimanakah dan apakah usaha yang perlu dilakukan dan dilaksanakan agar kita dapat mewujudkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri seperti disebutkan di atas?.... Bincanglah secara kumpulan dengan rakan-rakan guru.
________________________________________
Syarat Utama mengajar Sains Berkesan
Terdapat beberapa syarat utama yang perlu diketahui oleh seorang guru untuk menghasilkan pengajaran sains berkesan,. Syarat tersebut ialah:`
1. Mengetahui peranan, tanggungjawab dan tugas mereka sebagai seorang pengajar.
2. Mempunyai rasa empati yang tinggi terhadap pelajarnya.
3. Bersifat amanah, ikhlas dan jujur terhadap tugas yang diberikan.
4. Mempunyai sikap ingin membantu dan menolong orang lain.
5. Mempunyai sikap mengambil berat terhadap orang lain.
6. Mempunyai sikap bertimbang rasa dan jujur.
7. Menyedari dan mengetahui harapan para pelajar di bawah bimbingannya.
8. Berusaha mendapat kepercayaan yang tinggi terhadap dirinya di kalangan para pelajarnya.
9. Berusaha mewujudkan suasana yang menarik dan memberangsangkan dengan pelajar.
10. Berusaha mewujudkan suasana dan hubungan yang akrab dengan pelajar.
11. Berusaha mewujudkan suasana yang menarik di kalangan pelajar.
12. Mewujudkan hubungan yang mesra dengan semua pelajar.
13. Mempunyai hubungan yang rapor dan rapat dengan pelajar.
14. Mempunyai sikap suka mendengar.
15. mempunyai sikap humor ketika bersama pelajar.
16. Mempunyai daya penarik yang menakjubkan.
17. Mempunyai fikiran yang terbuka dan positif.
18. mempunyai kemahiran dalam bidang yang diajar.
19. Mempunyai kepakaran dam bidang teknik mengajar.
20. Mempunyai kepakaran berkomunikasi.
21. Mempunyai pengetahuan tentang kemanusiaan.
22. Mempunyai pegangan hidup semua orang boleh berjaya jika diberi bimbingan yang mencukupi.
23. Sentiasa berusaha meningkatkan kepakaran dan kemahiran yang berkaitan tugasannya.
24. Mempunyai kepercayaan dan pegangan hidup bahawa kejayaan boleh dicapai setelah berusaha.
25. Selalu berdoa untuk diri dan pelajarnya.
26. Sentiasa bertawakal kepada Allah.
________________________________________
Kaedah Mengajar Sains Di Sekolah Rendah Berkesan
Seorang pengajar boleh menggunakan beberapa kaedah mengajar sama ada secara berasingan atau gabungan pelbagai kaedah semasa mengajar. pemilihan kaedah atau gabungan kaedah yang dilaksanakan bergantung kepada pelajar yang diajar, bahan pembelajaran dan kemudahan media yang tersedia.
Ia juga bergantung kepada kefahaman, kebolehan dan kemahiran pengajar mengenai kaedah yang akan digunakan.
Berikut diberikan penerangan ringkas di antara kaedah-kaedah mengajar yang boleh dipilih dan digunakan, iaitu:
1. Kaedah heuristik
Dalam kaedah ini, pelajar dibimbing untuk membuat penemuan sendiri bahan-bahan pembelajaran dan menggunakan konsep dalam latihan. peranan guru menjadi pembimbing, penasihat, pakar rujuk dan penilai.
2. Kaedah induktif.
kaedah ini menggunakan pendekatan bermula daripada bahan pengajaran yang konkrit dan abstrak, khusus kepada umum dan daripada contoh kepada hukum am. kebenaran universal dibuktikan daripada ciri-ciri satu kes dan beberapa kes lain yang serupa.
3. kaedah deduktif.
ia berlawanan dengan kaedah induktif iaitu pelajar bermula daripada aspek umum kepada khusus, abstrak kepada konkrit dan formula kepada contoh.
4. kaedah Dogmatik
Bahan pembelajaran dibentangkan mengikut hukum, prinsip dan formula. latihan diberi untuk pelajar menggunakan hukum, prinsip atau formula itu dalam situasi yang berperingkat.
5. Kaedah projek.
pelajar dikehendaki menyiapkan projek khas yang dipilih mengikut bimbingan dan panduan pengajar. Peranan guru ditambah sebagai penasihat, pakar rujuk dan penilai.
6. Kaedah amali.
Pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran atau eksperimen atau kajian mengikut arahan yang diberi dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan oleh guru. peranan guru sebagai pembimbing, penunjuk ajar, penasihat, pakar rujuk dan penilai.
7. Kaedah Lawatan.
Pengajar mengatur supaya pelajar melawat ke tempat tertentu (di luar bilik darjah) dengan bahan pembelajaran boleh didapati dan dikaji dengan mudah.
8. Kaedah Sintesis.
pelajar bermula daripada apa yang diketahui kepada apa yang belum diketahui. berdasarkan data yang ada, pelajar merumus kesimpulan.
9. Kaedah Topik
Pengajar membentangkan isi pelajaran mengikut topik sehingga lengkap, sekali gus menghubungkaitkan dengan topik-topik berkaitan.
10. Kaedah Simulasi
Kaedah berlakon. Dalam kaedah ini, pengajar menetapkan peranan dan situasi untuk pelajar terlibat dalam aktiviti pembelajaran sebagai individu lain. Dengan cara ini, pelajar berpengalaman menjalankan peranan bukan sebagai pelajar sahaja, bahkan ia dapat mengalami sendiri peranan yang mereka boleh mainkan.
keberkesanannya bergantung kepada kebolehan dan kefahaman peranan yang dimainkan itu.
11. Kaedah Cerita
Pengajar membentangkan bahan pembelajaran dalam bentuk cerita yang boleh meningkatkan minat dan motivasi pelajar.
12. kaedah perbincangan
Pengajar membimbing pelajar untuk menjalankan perbincangan sama ada dalam kumpulan besar atau pun kumpulan kecil selepas ditugaskan membuat rujukan atau kajian.
13. kaedah Modular
Bahan pembelajaran didedahkan mengikut pelbagai teknik dan cara. Sepanjang proses pengajaran kaedah ini, pelajar dikehendaki menjalankan pelbagai aktiviti seperti membuat latihan , menyelesaikan masalah dan menjawab soalan mengenai bahan itu. Pada akhir pembelajaran pelajar mengambil ujian untuk menentukan tahap kefahaman dan penguasaan.
14. kaedah soal jawab
Pengajar mengemukakan soalan untuk dijawab oleh pelajar di mana jawapan itu dibina sebagai isi pelajaran yang lengkap.
Semua kaedah yang disebutkan di atas , dikemukakan bertujuan mempelbagaikan kaedah pengajaran guru dan seterusnya untuk meningkatkan kemahiran sains di kalangan pelajar dalam aspek-aspek sains berikut:
1. Melakukan eksperimen
2. Mengawal pemboleh ubah bagi sesuatu eksperimen
3. Membuat pemerhatian/pengamatan
4. Mengenal pasti perubahan
5. Mengenal pasti perbezaan
6. Mengenal pasti kesamaan
7. Membuat perbandingan
8. Mencatat data
9. Mengolah/memproses data
10. Meramal berdasarkan data
11. Mengingat kembali fakta
12. Membuat kesimpulan
13. Mentafsir data dan maklumat
14. Membuat hipotesis
15. Membuat inferens
16. Membuat laporan (berkomunikasi)
17. Menggunakan konsep
18. Memberi alasan/sebab
19. Melukis rajah
20. Melabel rajah
21. Mengguna peralatan/bahan sains dengan betul
22. Menyimpan peralatan/bahan sains dengan betul
23. Membersihkan peralatan/bahan sains dengan betul
Sebagaimana yang telah ditetapkan dalam kurikulum sains untuk menghadap UPSR Kementerian Pendidikan Malaysia.
________________________________________
Langkah-langkah pengajaran Sains Berkesan:
Secara ringkas, langkah yang perlu dilaksanakan oleh setiap guru untuk memastikan ia menghasilkan pengajaran yang berkesan ialah:
a. Persediaan pengajaran
b. menyatakan tajuk pengajaran
c. Menyatakan objektif pengajaran-pembelajaran, apakah yang diperolehi selepas pengajaran-pembelajaran
d. melakukan aktiviti pengenalan pengajaran (induksi set?)
e. mempersembahkan bahan pengajaran
f. membuat kesimpulan pengajaran
g. Mengadakan aktiviti pengukuhan
________________________________________
Persediaan Pengajaran
1. Sediakan tajuk pengajaran
2. sediakan bahan pengajaran secara terperinci, terutamanya mengenai:
1. Apakah konsep penting dalam tajuk
2. Apakah isi-si penting
3. Apakah kata kunci yang perlu diingat oleh pelajar berkaitan tajuk
4. Rajah dan alat bantu ajar (transparensi/carta rajah)
5. Gambar-gambar yang boleh ditunjukkan
6. Contoh yang berkaitan
7. kesimpulan yang disampaikan
3. Fikir, sediakan dan susun urutan kaedah persembahan, terutamanya tentang:
1. Induksi set
2. kaedah interaksi
3. Soalan yang perlu dikemukakan sepanjang persembahan

No comments:

Post a Comment